BOSTON, MASSACHUSETTS – Sebuah lukisan yang pernah terjual pada harga serendah AS$30 (RM125.39) semasa jualan halaman rumah dianggarkan bernilai lebih AS$10 juta (RM41.795 juta), lapor United Press International (UPI) semalam.
Nilai lukisan itu naik mendadak selepas ia disahkan sebagai karya pelukis era Renaissance dari Jerman, Albrecht Durer.
Seorang pengumpul dan perunding karya seni berpangkalan di bandar Boston, Clifford Schorer berada di sebuah kedai buku di negeri Massachusetts pada 2019 apabila pemilik kedai meminta Schorer melihat sekeping lukisan yang dibeli oleh rakannya, demikian menurut galeri seni Agnews yang berpangkalan di London.
Penjual buku itu memberitahu Schorer bahawa lukisan yang dibeli pada harga AS$30 (RM125.39) menerusi jualan halaman rumah pada 2017 itu mungkin karya asal Durer.
Schorer pada awalnya sangsi tetapi terkejut setelah melawat pemilik lukisan itu beberapa minggu kemudian. Lukisan itu bertajuk The Virgin and Child. Ia adalah karya seni Durer yang meninggal dunia pada 1528.
“Apabila anda berada di dunia saya, anda akan menghabiskan hidup dengan mencari benda yang tidak diketahui yang membawa kepada jalan penyelidikan yang baik,’’ kata Schorer kepada stesen penyiaran CNN.
Schorer berkata, dia menghabiskan masa selama tiga tahun mengembara ke seluruh dunia untuk mengesahkan keaslian karya tersebut.
Menurutnya, pakar-pakar bersetuju bahawa lukisan itu mempunyai ciri-ciri karya Durer. Dia percaya lukisan itu bernilai lebih daripada AS$10 juta (RM41.795 juta).
“Dari segi nilai relatif, saya fikir anda perlu membandingkannya dengan lukisan induk lama yang lain,’’ tambah Schorer. – Agensi