PETALING JAYA – Kerja keras seorang lelaki menabung selama 11 tahun untuk berkahwin dengan pasangan pilihan hatinya mendapat perhatian ramai.
Menerusi perkongsian satu klip video di laman sosial Farham Sam memaparkan hasil tabungan yang disimpan olehnya dengan menggunakan buluh akhirnya telah mencukupi.
Berdasarkan klip video berdurasi satu minit itu, kelihatan longgokan wang dengan nilai RM10 setiap satu dihamparkan di hadapan rumah untuk dikira bersama adik-beradiknya.
Difahamkan, Farhan bersama pasangannya, Nurul Hannani telah selamat mendirikan rumahtangga pada 2 Februari lalu.
Meninjau diruangan komen, rata-rata orang ramai memuji tindakan lelaki terbabit serta turut mendoakan kebahagiaan buat dirinya.
“Alhamdulillah, sanggup simpan duit tabung nak kahwin, awak jagalah isteri baik-baik ya. Semoga bahagia hingga ke Jannah,” kata Norliana.
“Kalau usaha dan niat betul pasti akan dapat kumpul juga, jadi kalau lelaki yang nak putus sebab takda duit itu jangan jadikan alasan,” ujar Erna pula.
“Syukur Alhamdulillah, selamat pengantin baharu, semoga kekal bahagia hingga ke jannah,” ucap PapaWan. -K!ONLINE