fbpx

Kluster pendidikan: MARA laksana SOP keselamatan dan kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MRSM Tun Mustapha, Tawau. /FOTO AWAM

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 susulan berita kluster Covid-19 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Mustapha, Tawau baru-baru ini.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd. Dun berkata, pemantauan berterusan akan terus dilaksanakan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran ke atas semua pelajar bukan sahaja di MRSM Tawau, tetapi juga di kesemua 55 buah MRSM di seluruh negara.

“Kami sentiasa memantau keadaan anak-anak kita yang masih berada di MRSM terutamanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan berlangsung pada minggu kedua Februari ini.

“Sehingga ke hari ini, hanya sejumlah 140 pelajar yang dijangkiti masih dikuarantin, manakala pelajar yang telah pulih dibenarkan pulang,” ujarnya di sini hari ini.

Jelas beliau, pihaknya mendapati daripada keseluruhan pelajar tingkatan lima yang mendaftar masuk, 91.9 peratus telah lengkap divaksinasi dan pihak maktab sedang berusaha membantu mempercepatkan proses pemberian vaksinasi kepada pelajar yang masih belum lengkap.

“Ibu bapa dinasihatkan untuk tidak berasa risau dan dimohon untuk terus menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang situasi semasa bagi memastikan anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan berasa tenang dan tidak tertekan.

“MARA sentiasa mengambil berat dan peka mengenai keperluan para pelajar terutamanya dari aspek keselamatan dalam menghadapi pandemik ini,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, menjelang kemasukan penuh pelajar bagi sesi 2022, MARA menyarankan agar pelajar-pelajar yang belum divaksinasi dapat melengkapkan dua dos sebelum mendaftar kelak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI