PETALING JAYA – Orang ramai meluahkan kebimbangan terpaksa beraya di perantauan sekali lagi pada tahun ini berikutan kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.
Semalam, kes jangkitan mencatatkan sebanyak 7,234 kes dan meningkat kepada 9,117 kes hari ini sekali gus menimbulkan teka-teki dalam kalangan pengguna media sosial.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, rata-rata orang ramai berharap agar kerajaan tidak mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.
“Risaunya kes naik mendadak, harap-harap tidak dilaksanakan PKP. Dari mana agaknya datang kes banyak ini. Penat dah beraya di perantauan,” kata Echa.
“Bersiap-sedia sahaja dengan sebarang kemungkinan. Macam dah boleh nampak tiada harapan beraya di kampung,” kata Khairul.
Bagaimanapun, ada juga yang menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar kes jangkitan Covid-19 menurun.
“Sebelum ini ramai yang leka, kes menurun sampai lupa nak jaga SOP. Harap kita sentiasa beringat,” kata Alfie.
“Tak terkejut sangat sebab banyak negara terutama negara besar dan maju menghadapi lonjakan kes ketika ini, terutama sekali dengan varian Omircron. Oleh itu, jangan abai SOP,” kata Abd. Rashid.
“Ingat kita jangan lihat kes harian sahaja. Kekal tenang, kita tengok nanti berapa kes dalam ICU dan memerlukan bantuan pernafasan serta kes kematian. Semoga indikator itu stabil,” kata Brandon. -K! ONLINE