fbpx

Kempunan bertemu Brunei, Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOLANEY akan menguji skuad bimbingannya dengan perlawanan menentang kelab Liga M selepas aksi pemanas badan antarabangsa gagal dilakukan.

HARAPAN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk melakukan dua aksi ‘pemanas badan’ antarabangsa sebagai persiapan mengharungi kempen Piala AFF B-23 tidak kesampaian atas faktor kekangan masa dan pandemik Covid-19.

Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney mengakui dua aksi persahabatan membabitkan pertemuan menentang Brunei dan Singapura terpaksa dibatalkan, sebaliknya digantikan dengan aksi bertemu kelab Liga Malaysia (Liga M).

Kata Maloney, skuad muda Harimau Malaya akan menentang Sabah FC di Kota Kinabalu hari ini disusuli persiapan terakhir bertemu juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City (KL City) pada minggu depan.

“Mengikut perancangan awal, memang perbincangan mahu mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara sebagai persediaan menjelang kejohanan Piala AFF B-23 kali ini.

“Namun, kita perlu memikirkan beberapa faktor antaranya kesuntukan masa dan juga pandemik Covid-19 menyebabkan perlawanan persahabatan de­ngan negara lain terpaksa dilupakan.

“Situasi berkenaan tidak menjadi masalah kerana pasukan B-23 akan menentang KL City dan Sabah FC sebelum barisan kejurulatihan mengumumkan senarai akhir pemain yang akan dibawa ke Kemboja,” kata pe­ngendali import dari Australia itu.

Berdasarkan prestasi semasa, skuad B-23 memiliki momentum cemerlang dan tidak mempu­nyai masalah untuk mendominasi saingan peringkat Asia Tenggara selepas menjuarai saingan pe­ringkat kumpulan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia Oktober lepas.

Skuad B-23 negara bakal mengharungi jadual padat tahun ini kerana selepas saingan Piala AFF B-23, mereka akan bersaing pada Sukan SEA 2020 di Vietnam pada Mei depan.

Kemudian, pasukan negara akan bersaing pada kejohanan Piala Asia B-23 yang berlangsung pada Jun depan di Uzbekistan dan temasya Sukan Asia 2022 di China pada September.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI