MENLO PARK, CALIFORNIA – Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg kerugian hampir AS$24 bilion (RM100.24 bilion) dalam masa hanya satu malam, selepas harga saham syarikatnya, Meta Inc. (Meta) jatuh mendadak susulan pengumuman prestasi kewangan suku tahun keempat yang tidak memberangsangkan, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Meta merupakan syarikat induk bagi platform media sosial Facebook, WhatsApp dan Instagram bagi menggantikan Facebook Inc. dalam langkah penjenamaan semula tahun lalu.
Menurut saluran berita Bloomberg, harga saham syarikat itu menjunam 24 peratus pada pukul 10.25 pagi (waktu Amerika Syarikat) kelmarin sekali gus menjadi kejatuhan harian paling buruk dalam sejarah.
Perkembangan itu bukan sekadar menyebabkan nilai syarikat Meta merosot sebanyak AS$200 bilion (RM835.48 bilion), bahkan turut memberi kesan kepada kekayaan peribadi Zuckerberg. Ini kerana beliau memiliki sebanyak 14 peratus saham dalam syarikat itu.
Menurut beberapa laporan, harga saham Meta jatuh mendadak selepas Facebook dilaporkan tidak mencatatkan sebarang pertumbuhan buat kali pertama dalam sejarah.
Platform media sosial itu juga kehilangan banyak pengguna kerana mereka lebih memilih untuk menggunakan laman perkongsian video dari China, TikTok.
Facebook turut merekodkan bilangan pengguna yang kurang aktif berbanding sebelum ini.
Susulan kerugian yang dicatatkan, Zuckerberg turut terkeluar daripada senarai 10 individu terkaya dunia buat pertama kali sejak Julai 2015.
Menurut senarai terkini bilionair dunia oleh majalah Forbes, beliau kini berada pada kedudukan ke-12 dengan nilai kekayaan sebanyak AS$84.8 billion (RM354.26 bilion).
Meskipun hanya menerima gaji sebanyak AS$1 (RM4.17) setahun di atas kertas, Zuckerberg menjana kekayaan berbilion-bilion dolar dengan menjual saham dalam Facebook yang mula disenaraikan di bursa saham pada 2012.
Ia merupakan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dalam sejarah, yang memberikan Zuckerberg keuntungan berbilion-bilion dolar dalam masa satu hari untuk syarikat yang beliau asaskan sejak bergelar pelajar universiti lagi.
Bagaimanapun, sejak dijenamakan semula kepada Meta serta pengumuman kepada perubahan sistem Metaverse VR, nilai kekayaan yang dimiliki Zuckerberg tidak banyak meningkat.
Selain itu, Facebook dilaporkan turut terpalit dengan siri kontroversi sejak beberapa tahun lalu.
Antara yang menjadi perhatian adalah kontroversi penggunaan data peribadi pengguna serta cara-cara platform itu mengendalikan penyebaran berita palsu serta teori konspirasi. – AGENSI