PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ebit Lew meluahkan rasa bahagia apabila dapat bertemu rakan seperjuangan iaitu aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang, semalam.
Ebit dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, Uncle Kentang berkunjung ke rumahnya untuk beraya sempena Tahun Baharu Cina.
“Bahagianya rasa dapat jumpa Uncle Kentang. Seorang yang amat saya hormati dan sayangi. Dah lama nak jumpa beliau dan sentiasa mengikuti beliau di Facebook,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ebit turut berkongsi kesungguhan Uncle Kentang yang sempat membantu orang lain ketika sampai di rumahnya.
“Tadi sampai-sampai sahaja ‘uncle’ tengah selesaikan seorang makcik tua terlantar di rumah dan tiada siapa nak jaga. Kena mandikan dan ambil dengan ambulans.
“Beliau ada berpuluh ambulans dan van jenazah untuk khidmat masyarakat selain rumah jagaan orang tua. Entah berapa ramai keluarga dalam tanggungannya sekarang,” katanya.
Menurut Ebit, dia mengagumi sifat peribadi Uncle kentang yang baik dan sentiasa merendah diri serta berhasrat untuk berkerjasama dengannya pada masa hadapan.
“InsyaAllah kami ada niat untuk bekerjasama pada masa akan datang. Walaupun umur dah 60-an, tapi masih kuat membantu.
“Syukur sangat. Rezeki saya hari ini berjumpa dengan orang mulia, baik dan hebat. Tak terbalas jasa dan pengorbanannya,” katanya. – K!ONLINE