PUTRAJAYA – “Saya memang tidak larat untuk turun naik tangga, ia begitu sukar dilakukan sehinggakan terpaksa dibantu untuk bergerak ke tingkat bawah.”
Begitulah luahan Romah Junoh, 47, yang merupakan seorang pesakit buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.
Dia yang tinggal di Blok MR, Taman Minang Ria di Cheras, Selangor berkata, penyakitnya itu membuatkan dia berhadapan kesukaran untuk berjalan.
“Bayangkan untuk berjalan pun susah, inikan pula nak turun ke tingkat bawah. Apatah lagi rumah saya berada di tingkat lima di rumah pangsa ini.
“Ahli keluargalah menjadi tempat bergantung harap ketika ini, iaitu anak saya, Mohd. Amirul Azim Azmi yang baru berusia 14 tahun,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Romah, dia mula menjalani rawatan dialisis sejak 2019 dan telah menghabiskan wang simpanannya kira-kira RM60,000 bagi merawat penyakit dihadapinya itu.
Katanya, sebelum ini, dia bekerja sambilan dengan menghasilkan aneka hidangan dari negeri kelahirannya, Kelantan seperti nasi kerabu.
“Saya berniaga sambilan kira-kira empat kali seminggu, dan memperoleh sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap sesi. Bagaimanapun, dengan tahap kesihatan yang semakin merosot, ia tidak dapat dilakukan lagi,” katanya.
Ujarnya, dia juga dinasihati untuk tidak melakukan kerja-kerja berat di rumah ekoran penyakitnya itu, ditambah pula dengan kesukaran baginya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Sementara itu, suaminya, Azmi Abdullah, 50, berkata, dia hanya mengharapkan pendapatannya sebagai posmen untuk membantu membiayai rawatan isterinya itu.
“Pada ketika ini, kami memerlukan sekitar RM500 sebulan bagi rawatan termasuklah ubat-ubatan dan suplemen.
“Siapa yang tak bimbangkan keadaan isteri di rumah ketika saya keluar bekerja, namun syukurlah ada anak yang boleh membantu,” ujarnya.
Jelasnya, anak sulungnya,Nor Azmira, 20, turut membantu ibunya di rumah daripada segi penyediaan makanan dan melangsaikan bil-bil tertentu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akan Public Bank 4897-4986-903 (Romah Junoh) atau menghubungi keluarga ini di talian 013-356 9468. -K! ONLINE