fbpx

K2

Asakan tenggiri beri cabaran tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD RIZAL (kiri) dan rakan-rakannya memburu tenggiri di Tuas Sungai Udang, Yan, Kedah baru-baru ini.

MEMANCING sememangnya hobi yang sinonim dengan golongan lelaki, tidak kira yang tinggal di kawasan kampung, pedalaman, mahupun yang tinggal di bandar- bandar besar.

Bagi mereka yang menetap di kawasan berhampiran pantai dan laut, memburu ikan air masin sudah menjadi satu kelaziman dan menjanjikan keseronokan berlainan berbanding ikan air tawar.

Bagi Mohammad Rizal Kasim, 47, kelebihan tinggal di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang membuatkan dia mempunyai peluang untuk kerap memburu ikan laut terutama pada hujung minggu.

Bersempena cuti umum baru-baru ini, dia bersama lima lagi rakannya telah mengatur trip bagi memburu ikan tenggiri yang sememangnya sangat popular dalam kalangan kaki pancing khususnya di Pulau Pinang dan Kedah.

Dengan kos sekitar RM650, mereka menyewa sebuah bot daripada pengendali bot memancing di Sungai Udang, Yan, Kedah untuk ke Tuas Sungai Udang.

“Di Utara ini, ada beberapa kawasan yang memiliki tuas ataupun unjam buatan yang dibuat oleh pemilik bot sewa terutama di Kedah seperti Tuas Payaq Kuala Kedah, Tuas Kuala Sala dan Tuas Dulang Kecil.

“Bagaimanapun, yang paling popular dalam kalangan kaki pancing adalah tuas di kawasan Sungai Udang kerana di sini lebih banyak kawanan ikan tenggiri selain turut memiliki ikan-ikan spesies lain,” katanya.

IKAN tenggiri merupakan ikan jenis pemangsa yang sukar untuk dijinakkan.

Menurut anak jati Jitra, Kedah ini lagi, memancing ikan tinggiri memberi kepuasan yang sangat berbeza berbanding ikan-ikan laut yang lain kerana ia merupakan ikan pemangsa dan harganya agak tinggi di pasaran.

Disebabkan sifatnya yang ganas dan akan meragut umpan sebaik terhidang di depan mata, ia akan memberi pengalaman yang sangat berharga buat kaki pancing yang dahagakan ‘pertarungan’ dengan ikan jenis pemangsa itu.

“Untuk ke tuas, kami akan menaiki bot seawal pukul 6.30 pagi sebaik air pasang sudah tinggi bagi membolehkan bot keluar dari kawasan muara Sungai Udang dengan lancar dan pulang semula kira-kira pukul 5 petang sebelum air di kawasan kuala surut.

“Sebaik tiba di tuas pertama, tekong bot akan berhenti seketika bagi membolehkan kami memancing ikan kembung untuk dijadikan umpan hidup bagi memburu tenggiri kerana tenggiri lebih cenderung menjamah anak ikan kembung berbanding umpan hidupan lain.

“Selain umpan anak ikan kembung, kami juga menggunakan umpan tiruan seperti umpan bulu ayam sebagai alternatif,” ujarnya.

KAKI pancing perlu mengetahui teknik yang betul bagi memastikan tenggiri yang telah meragut umpan tidak terlepas.

Kata Mohammad Rizal lagi, bagi memburu ikan tenggiri, biasanya dia akan memilih umpan hidup sebagai keutamaan dan tali perambut akan diikat pada belon dan dibiarkan berenang di atas permukaan bagi menarik perhatian pemangsa.

“Belon yang terapung itu akan meletup sebaik umpan diragut ikan dan ketika itu, pemancing perlu cepat-cepat menggulung tali bagi mengelak ikan berjaya melepaskan diri. Ketika inilah teknik betul diperlukan kerana jika tersalah langkah atau lambat menggulung tali, tenggiri akan terlepas menyebabkan kita berputih mata,” katanya.

Menurutnya, sepanjang lebih 15 tahun memburu tenggiri, dia pernah menaikkan spesies tersebut seberat 15 kilogram. Itupun selepas bertarung hampir 30 minit sebelum berjaya menaikkannya ke atas bot.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI