KUANTAN – Hasrat seorang wanita warga emas untuk berkahwin dengan warganegara Amerika Syarikat bukan sahaja tidak kesampaian tetapi dia turut mengalami kerugian sebanyak RM52,300 akibat ditipu sindiket love scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada 18 Disember lalu ketika mangsa yang merupakan pesara kerajaan melayari Facebook di rumahnya dekat Galing di sini.
“Mangsa menerima satu pesanan melalui aplikasi ‘messenger’ daripada pengguna akaun Facebook bernama Nelson Michael Jr. yang mengajak mangsa berkenalan dan mangsa memberikan nombor telefon kepadanya untuk berkenalan lebih lanjut.
“Suspek memberitahu berasal dari Amerika Syarikat namun bekerja di Miri, Sarawak dalam bidang cari gali minyak dan sepanjang perkenalan pengadu hanya berhubung dengan suspek melalui panggilan telefon dan perbualan di WhatsApp sahaja dan tidak pernah berjumpa,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir suspek meminjam wang sebanyak tujuh kali dengan pelbagai alasan berjumlah keseluruhan RM52,300 dan berjanji mahu mengahwini mangsa sekiranya mangsa memberi pinjam wang tersebut.
Katanya, pada 31 Januari lalu selepas sahaja transaksi terakhir suspek tidak lagi menghubungi mangsa sehingga ke hari ini dan suspek juga telah menyekat nombor telefon mangsa.
Katanya, mangsa yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE.