SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengkaji kemungkinan mewujudkan subjek khusus untuk prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan aktiviti sukan dapat diteruskan semasa pandemik.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Ts. Dr. Roziah Mohd. Janor, pembentukan subjek tersebut akan diwujudkan Fakulti Sains Sukan Dan Rekreasi dan diajar kepada semua pelajar kursus tersebut.
“Sukan bagi saya adalah suatu perkara yang penting kerana ia membentuk disiplin dan daya tahan seperti sukan ragbi. Aktiviti sukan perlu diteruskan dalam apa jua keadaan.
“Sehubungan itu, SOP untuk aktiviti sukan perlu dijadikan satu subjek kerana pada masa depan kita sudah bersedia sebagaimana SOP mengekang pandemik Covid-19 hari ini,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) yang diwakili Presidennya, Syed Aldrin Syed Kabeer.
Roziah dalam ucapan berkata MOU itu membuktikan komitmen dan kesungguhan UiTM untuk bersama membangunkan dan memperkasa program kerjasama dalam sukan ragbi sebagai salah satu agenda sukan universiti. -K! ONLINE