PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dibenarkan pulang sejak kelmarin selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur sebelum ini.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Tun Mahathir, meskipun Ahli Parlimen Langkawi itu dibenarkan pulang, namun beliau perlu kembali ke IJN untuk jalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.
“Tun Dr. Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan buat masa ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat,”ujar kenyataan itu hari ini.
Dalam kenyataan sama,Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menyampaikan ucapan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan dari orang ramai.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Tun Mahathir menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN sejak 22 Januari lalu.-K! ONLINE