fbpx

Tidur 4 jam sehari demi anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIDAH (kanan) melayan Mas Wahida di rumahnya di Kampung Seronok, Bayan Lepas, semalam.

GEORGE TOWN – Bagi seorang ibu tiada istilah penat, kasih sa­yang pada zuriat yang me­nebal membuatkan mereka tetap teguh menjaga anak biarpun pada usia 61 tahun.

Saidah Saad berkata, dia me­rupakan tulang belakang buat Mas Wahida Abd. Rahim, 29, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) pelbagai selepas kematian suaminya, Abd. Rahim Ahmad akibat serangan jantung pada 2018.

Menurutnya, Mas Wahida anak kedua daripada empat beradik itu mengalami masalah penglihatan, pendengaran dan percakapan sejak lahir.

“Kekuatan saya hari ini datang daripada dia (Mas Wahida). Anak saya perlu perhatian dan penja­gaan rapi berikutan dia mengalami kesukaran untuk tidur sejak kecil dan mengurus diri.

“Dia akan berjaga setiap masa melainkan sudah letih, dia akan tidur dengan sendiri pada waktu malam tanpa sebarang bantuan ubat. Itupun tidak lama, hanya beberapa jam sahaja.

“Demi anak, sudah memadai sekiranya saya dapat lelapkan mata hanya empat jam sahaja pada waktu malam hingga awal pagi. Tak nyenyak tidur sekiranya dia masih berjaga sehingga lewat pagi,” katanya semalam.

Menurut Saidah, dia tidak pernah berasa terbeban selepas dikurniakan cahaya mata istimewa dan menganggap sebagai anuge­rah paling terindah daripada sang pencipta-Nya.

“Sepenuh masa saya hanya dengannya sahaja kerana dua adiknya bekerja, manakalanya kakaknya sudahpun berkahwin.

“Meskipun dia tidak nampak tetapi dia boleh berjalan, merasai objek yang ada berdekatan serta memahami apa yang kita cakap terhadapnya.

“Setiap hari, dia akan bermain dengan peralatan besi dan batu termasuk sepana, pemutar skru, alat ganti motosikal serta guli. Dia tahu tempat simpanan barangan mainannya itu dan akan menyimpan semula apabila sudah jemu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saidah memberitahu, dia bergantung kepada bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 bagi membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan anaknya itu.

“Saya tiada pendapatan tetap, anak-anaklah yang membantu dari segi kewangan setiap bulan. Selain mereka, saudara-mara dan komuniti kampung juga sentiasa hulur bantuan bagi meringankan beban saya.

“Hasrat saya mahu membesarkan Mas Wahida dengan sempurna sampai akhir hayat saya,” tambahnya dalam nada sebak.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Saidah di talian 011-5118 2561 atau bantuan terus ke akaun CIMB bernombor 7020-2857-13 (Saidah Saad). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI