PETALING JAYA – Gara-gara gagal melampirkan bukti nikah, sepasang suami isteri hampir ditangkap basah oleh pasukan pegawai jabatan agama islam.
Pengalaman mendebarkan ini dikongsikan Faridah Salleh menerusi hantaran di laman Facebook miliknya kelmarin.
Katanya, baru-baru ini dia dan suami menginap di sebuah hotel di Johor atas urusan kerja yang perlu diselesaikan.
Kemudian, pada malam tersebut selepas dia pulang dari berjumpa dengan kenalan lama sekitar pukul 12.45 tengah malam, dia dikejutkan dengan ketukan pintu.
“Saya naik ke bilik pukul 12.15 tengah malam, kemudian selang 30 minit, pintu bilik diketuk, ingatkan suami balik tapi dengar suara berbeza.
“Pergi ke pintu tanya banyak kali, katanya dari pejabat agama,” katanya.
Tambah Faridah, dalam keadaan cemas, dia meminta kebenaran untuk menyarung tudung terlebih dahulu dan meminta agar pegawai perempuan turut berada di hadapan pintu biliknya.
“Dengar perkataan pejabat agama terus menggigil.
“Pegawai wanita masuk dan periksa bilik serta mengambil kad pengenalan serta keterangan daripada saya.
Menurutnya, dia agak ketakutan apabila pihak jabatan agama membuat pemeriksaan dan mujurlah ketika itu, suaminya tidak berada bersama di bilik hotel kerana mempunyai urusan luar.
“Alhamdulillah, Allah tutup aib kami.
“Saya dan suami langsung tidak ada kad nikah walaupun usia perkahwinan kami sudah 23 tahun, kerana pada awalnya dulu, kami anggap ia tidak penting dan sebenarnya kad nikah adalah keperluan utama buat setiap pasangan berkahwin,” ujarnya.
Katanya lagi, sekiranya dia sedang berdua-duaan di dalam bilik bersama suami, besar kemungkinan mereka ibarat ditangkap basah dan bakal dibawa ke pejabat agama kerana gagal melampirkan bukti perkahwinan sebagai suami isteri yang sah.
“Namun Allah tutup aib kami suami isteri, suami pun balik lewat, lagi pun, sijil nikah pun tertinggal di rumah, memang kalut waktu itu,” jelasnya.
Sehubungan itu, Faridah turut memberikan pesanan dan mengajak pasangan berkahwin di luar sana agar segera membuat permohonan memiliki kad nikah kerana ia penting sebagai bukti perkahwinan yang sah.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai juga seperti baru tahu akan kepentingan memiliki kad nikah.
Ada pengguna yang sudah mempunyai anak, tetapi masih tidak mempunyai kad nikah kerana beranggapan sijil perkahwinan sudah cukup untuk membuktikan status suami isteri.
“Alhamdulillah pengalaman itu kak, kami pun tidak ada kad nikah dan jarang bawa sijil apabila keluar, tapi mujur anak-anak dah ada Mykid, selamat,” kata seorang pengguna,
Selain itu, seorang pengguna lain turut berkongsi pengalamannya yang selama ini langsung tidak mengambil kisah tentang kepentingan membuat permohonan kad nikah.
“Samalah dengan saya, saya buat mudah sahaja soal kad nikah, sebab zaman dulu ada sijil nikah sahaja, sebab itu tak ambil kisah. Terima kasih atas perkongsian dan ingatan, lepas ini nak ajak suami mohon kad nikah, risau kena macam akak pula nanti,” ujarnya. – K! ONLINE