fbpx

Sarang pusat panggilan perjudian online diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Habibi ketika menjalankan serbuan sindiket pusat panggilan perjudian online dipercayai telah beroperasi selama 3 bulan

KUALA LUMPUR – Tindakan lima lelaki warga asing menjadikan sebuah apartmen mewah sebagai sarang pusat panggilan perjudian dalam talian tumpas apabila diserbu polis menerusi Ops Dadu dekat Jalan Klang Lama di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepasukan pegawai dan anggota menjalankan serbuan itu sekitar pukul 5.15 di sebuah kediaman tingkat 40.

“Hasil serbuan polis menahan lima suspek warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an dipercayai bertindak sebagai operator sindiket perjudian tersebut.

“Sindiket terbabit mempromosi judi dalam talian untuk pasaran Bangladesh yang mana setiap pekerja menerima upah sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 sebulan,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, kesemua suspek menyewa premis tersebut untuk menjalankan kegiatan itu yang dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan dan berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM10,000 sehari.

“Selain itu, polis turut merampas telefon bimbit pelbagai jenama dan komputer riba untuk kegunaan perjudian.

“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Dalam pada itu, Habibi memaklumkan hasil serbuan Ops Dadu sejak 1 Januari sehingga 3 Februari lalu berjaya memberkas 306 suspek dalam 110 serbuan.

“Daripada jumlah tangkapan itu, kita telah menuduh 156 orang di mahkamah dan selebihnya masih dalam siasatan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI