PUTRAJAYA – Aktivis sosial, Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi kesal dengan tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang tetap meneruskan projek rintis JKMPay.
Menerusi satu kenyataan, Senator Dewan Negara mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) itu menyelar usaha oleh pihak tersebut kerana jelas meminggirkan suara komuniti berkenaan.
“Penyampaian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke arah kaedah pendigitalan itu juga langsung tidak pernah mendapatkan pandangan dan respons terlebih dahulu daripada kami.
“Saya menggesa kementerian untuk menghentikan serta-merta JKMPay dan memohon agar dikembalikan pembayaran menerusi EPOKU sebanyak RM450 secara tunai,” tegas beliau.
Ahad lalu, menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Rina Harun mendakwa sistem baharu itu yang dilaksanakan sejak 1 Februari 2021 lalu diterima baik 80 peratus daripada penerimanya.
Program pembayaran tanpa tunai itu buat permulaan melibatkan 2,000 penerima bantuan JKM daripada keseluruhan 550,000 penerima dengan membabitkan enam negeri yang terpilih.
Ia susulan tindakan 50 ahli mewakili gabungan badan OKU seluruh negara menyerahkan memorandum protes kepada timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusof pada 25 Januari lalu. – K! ONLINE