JOHOR BAHRU – UMNO akan terus menagih khidmat ahli-ahli veteran parti itu dalam usaha mengembalikan pentadbiran kerajaan negeri kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu kerana veteran UMNO adalah ‘orang lama’ yang telah merasai pelbagai dasar yang telah dilaksanakan kerajaan BN selama ini.
Ujarnya, UMNO tidak pernah lupa jasa dan sumbangan diberi ahli-ahli veteran parti itu khususnya di peringkat akar umbi.
“Sebagai sebuah parti yang berstruktur dan berakar umbi, UMNO tidak pernah lupa akan jasa dan sentiasa mengambil berat soal ahli veteran di Pasir Gudang.
“Mereka juga adalah sebahagian daripada jentera parti yang memainkan peranan penting bagi memastikan kemenangan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan DUN Johor Jaya.
“Sebagai ‘orang lama’ yang sudah melihat dan merasai sendiri pelbagai dasar dan perubahan di bawah pentadbiran BN, komitmen mereka amatlah ditagih parti bagi memastikan undi teras UMNO terus kekal bersama BN,” katanya ketika berucap semasa menghadiri program pertemuan dengan veteran UMNO di Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.
PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN pada 22 Januari lalu, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting untuk PRN itu. – K! ONLINE