GEORGE TOWN – Kedua-dua peniaga yang terlibat dengan insiden pergaduhan di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama di sini sehingga tular di media sosial Selasa lalu diberikan notis tunjuk sebab oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Menurut kenyataan MBPP, kedua-dua peniaga itu perlu memberi penjelasan terhadap kejadian tersebut dalam tempoh tujuh hari.
“MBPP berasa amat kesal di atas kejadian pergaduhan yang berlaku di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama yang dilaporkan pada 2 Februari lalu melibatkan dua peniaga kompleks berkenaan.
“Ekoran daripada kejadian tersebut, surat tunjuk sebab telah dikeluarkan pada keesokan hari (3 Februari) kepada kedua-dua peniaga yang terlibat di mana mereka perlu memberi penjelasan terhadap kejadian tersebut dalam tempoh tujuh hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, medan selera yang menjadi tempat tumpuan pelancong itu kecoh apabila beberapa peniaga bergaduh sesama sendiri.
Kejadian itu tular di media sosial apabila pengunjung yang membuat rakaman kejadian itu memuat naik video selama kira-kira seminit ke laman sosial.
Dalam pada itu, MBPP berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi dan berkompromi dengan apa-apa tindakan yang akan mengganggu ketenteraman awam atau merosakkan keharmonian di kawasan awam dan kemudahan yang disediakan oleh MBPP.
“Untuk makluman, MBPP juga tidak membenarkan mana-mana peniaga di dalam kompleks milik MBPP untuk memonopoli mana-mana ruang atau mana-mana meja yang disediakan untuk kepentingan persendirian.
“Orang awam adalah bebas untuk memilih tempat duduk mereka dan membuat pesanan atau membeli makanan dan minuman dari mana-mana gerai yang mereka suka,” katanya. – K! ONLINE