KETUA jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd. Manshahar Abdul Jalil percaya jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa mampu menyumbangkan sesuatu yang positif kepada kem Malaysia tahun ini.
Keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa Nauraj yang berjaya memecahkan rekod lompat tinggi dalam dewan kebangsaan sebanyak dua kali dalam tempoh tiga hari.
Olimpian negara yang beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 itu dilihat semakin menemui rentak terbaiknya apabila mengatasi had ketinggian 2.27 meter (m) dalam satu kejohanan di Republik Czech pada 30 Januari lalu.
Ia sekali gus memperbaharui catatan dalam dewan kebangsaan yang baru dilakukannya tiga hari lalu iaitu 2.22m ketika meraih tempat kedua di Kladno Indoor 2022, juga di Republik Czech pada 27 Januari.
“Ia satu pencapaian yang baik buat Nauraj sebagai permulaan untuk tahun 2022. Ia adalah rekod baharu dalam dewan kebangsaan dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) juga sudah ambil maklum untuk mengiktirafnya nanti.
“Ada beberapa kejohanan penting dia kena ambil bahagian tahun ini. Sekarang dia akan teruskan persediaan di Eropah dan kemudian kembali untuk mewakili negara ke Sukan SEA (di Hanoi, Vietnam) pada Mei.
“Hala tujunya berjalan ke arah yang diinginkannya. Dengan sokongan KOM dan MSN (Majlis Sukan Negara), Nauraj boleh ke Sukan Asia dan Komanwel, sama-sama kita nantikan hasilnya nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Selain Sukan SEA, Nauraj juga sudah melepasi had kelayakan ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada September depan kerana mengatasi catatan pemenang gangsa edisi 2018, 2.24m milik atlet Syria, Majd Eddin Ghazal.
Bagaimanapun, Nauraj masih perlu berusaha untuk layak ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham pada Julai nanti kerana belum lagi melepasi had kelayakan 2.30m iaitu catatan pingat gangsa edisi 2018, dimenangi Django Lovett dari Kanada.