PUTRAJAYA – Kementerian dan agensi-agensi kerajaan disaran untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah antara beberapa langkah penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan juga mitigasi risiko bencana.
“Banjir besar yang melanda negara baru-baru ini amat memberi kesan kepada rakyat. Ia bukan merupakan satu isu baharu, malah telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan kerugian bukan sahaja terhadap harta benda tetapi juga kehilangan nyawa.
“Natijah daripada bencana banjir ini juga mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, susulan itu beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) secara telesidang semalam bagi membincangkan situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.
“Perbincangan itu menekankan langkah-langkah dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan kerajaan pusat serta kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.
“Langkah strategik menambahbaikan pengurusan bencana negara dibentangkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dipersetujui seperti Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR),” ujar beliau.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap inisiatif DRR, penyediaan dana untuk pengurusan bencana dan DRR, pengukuhan Mekanisme Koordinasi dan Kompentensi ‘Stakeholders’ pengurusan bencana dan penambahbaikan sistem dan penyampaian maklumat di dalam pengurusan bencana dan DRR.
“Turut dipersetujui adalah pemerkasaan Dasar dan Mekanisma Koordinasi Bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan, peningkatan kemahiran dalam komunikasi krisis dan komunikasi strategik serta peningkatan kapasiti komuniti setempat dan tumpuan terhadap ‘lokalization’ di dalam pengurusan dan DRR.
“Perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik,” katanya.
Tambah beliau, selain penetapan lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan, kerajaan akan turut melaksanakan pengenalan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan iaitu sekolah, kolej dan universiti agar dapat diadaptasi sebagai norma baharu. – K! ONLINE