SHAH ALAM – Seorang wanita dicari bagi membantu siasatan kes berhubung anak perempuan kini berusia 10 tahun yang ditinggalkan sejak sedekad lalu.
Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, wanita itu dikenali Zulaikha yang sebelum ini ditemui oleh pasangan suami isteri di Hentian Pudu, Kuala Lumpur dekat sini bersama bayinya dikenali Putri Nor Khairani.
Menurutnya, pasangan suami isteri kemudiannya telah memberikan perlindungan di rumah mereka di Bandar Sri Damansara.
“Selang seminggu kemudian, Zulaikha meminta izin untuk pulang ke kampungnya di Taiping dan meninggalkan anaknya yang pada masa itu berusia dua minggu kepada suami isteri tersebut.
“Bagaimanapun, selepas itu didapati ibu kandung kanak-kanak itu tidak lagi dapat dihubungi dan bayi berkenaan juga tiada sijil lahir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata jurucakap itu, pasangan suami isteri seterusnya telah merujuk isu ini kepada pihak kami dan kes ini telah dibawa ke Mahkamah Kanak-Kanak pada tahun 2018.
Jelasnya, mahkamah telah memerintahkan kanak-kanak berkenaan diletakkan dalam jagaan pasangan ini selama tiga tahun.
“Perintah penjagaan tersebut telah tamat dan Zulaikha atau warisnya dicari bagi siasatan lanjut sebelum perintah pengangkatan dibenarkan oleh mahkamah yang akan didengar pada 17 Mac depan,” ujarnya.
Justeru, jurucakap itu berharap Zulaikha tampil atau menghubungi Pelindung di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, Nor Asmanizah Ahmad di talian 03-7842 2584 atau 03-7842 2587. -K!ONLINE