PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC melancarkan jersi ‘away’ bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim 2022 bersempena Hari Kanser Sedunia di Petaling Jaya sebentar tadi.
Warna jersi ‘away’ 2022 merupakan warna ‘teal’ iaitu menggabungkan warna biru dan hijau yang membawa maksud pembaharuan, manakala warna ‘fuchsia’ pula amat dekat dengan kempen Hari Kanser Sedunia membawa maksud berani, bersemangat serta yakin untuk berjuang dalam menempuh cabaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, jersi tersebut didedikasikan buat pejuang kanser khususnya kapten pasukan, Brendan Gan yang berjaya melawan kanser testis yang dihidap pada Julai lalu sehingga kembali menjalani latihan kompetitif sejak awal musim ini.
“Penggunaan riben kanser sebagai simbol utama di belakang jersi ‘away’ 2022 menunjukkan sokongan pasukan kepada mereka yang sedang mengharungi kanser dengan harapan kempen ini dapat menyebarkan tentang penyakit itu kepada orang ramai.
“Malah, ia juga diambil sebagai inspirasi perjuangan Brendan dalam melawan kanser dan pihak pengurusan bersetuju untuk melancarkan jersi ini sempena Hari Kanser Sedunia hari ini,” katanya pada sidang media petang tadi.
Selain pelancaran jersi, Selangor FC turut membuat majlis pengenalan barisan pemain utama pasukan bagi mengharungi saingan musim 2022.
Turut hadir pada majlis pelancaran bertemakan kempen Let’s Cope with Neon Hope turut dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku pengerusi kelab Gergasi Merah dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Jersi ‘away’ Selangor FC sudah mula dijual hari ini dengan harga RM119. – K! ONLINE