KOTA BHARU – Polis sudah mengenal pasti identiti seorang lagi suspek yang melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dalam kejadian samun di Kampung Sungai Pinang, Tumpat awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis akan menjalankan tangkapan terhadap lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dalam masa terdekat.
Menurutnya, tangkapan itu akan dilakukan untuk membantu siasatan berkaitan kes samun kenderaan pacuan empat roda itu dan tiga rakannya yang maut dalam kemalangan di Kampung Paloh, Morak dekat Tumpat semalam.
“Kita akan menjalankan siasatan dari pelbagai aspek termasuk memanggil saksi-saksi yang boleh membantu polis.
“Saya juga meminta orang ramai yang melihat atau mengetahui mengenai kejadian samun dan kematian tiga lelaki di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V itu supaya tampil memberi maklumat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Muhamad Zaki berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian kemalangan melibatkan tiga lelaki maut dengan dua daripadanya rentung.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE