MUNICH – Penyerang Bayern Munich, Thomas Muller bersedia mencari angin baharu selepas ini apabila mendedahkan gergasi Jerman itu tidak pernah berbincang dengannya mengenai kontrak baharu di Allianz Arena.
Muller yang juga boleh beraksi di pelbagai posisi serangan akan tamat kontrak bersama Bayern pada 30 Jun tahun depan sekali gus menarik minat Newcastle United dan Everton untuk cuba mendapatkan khidmatnya.
Difahamkan, Bayern sudah berbincang dengan Manuel Neuer dan Robert Lewandowski berhubung perjanjian baharu tetapi masih tidak melakukan sebarang rundingan untuk melanjutkan kontrak pemain berusia 32 tahun tersebut.
“Saya masih mahu bermain bola sepak pada tahap tertinggi sehingga 2025. Buat masa ini saya gembira dengan segala-galanya dan tidak bersedoa untuk bersara.
“Namun, tiada sesiapa daripada kelab (Bayern) menghubungi saya. Jadi, saya perlu menilai sendiri bagaimana masa depan saya bersama pasukan ini.
“Bayern sentiasa mempunyai jangkaan tinggi kepada pemain-pemainnya. Saya sendiri tidak boleh meramalkan apa yang akan berlaku tetapi segalanya tidak mustahil dalam bola sepak,” kata Muller.
Memandangkan Newcastle kini merupakan antara pasukan terkaya di dunia, kelab itu dilihat sebagai destinasi sesuai yang mampu memenuhi permintaan gaji Muller.
Sebagai rekod, Muller yang sudah meledak 223 gol daripada 610 penampilan bersama Bayern sejak 2008, menerima bayaran gaji sebanyak £250,000 (RM1.41 juta) seminggu bersama juara Bundesliga itu. – AGENSI