PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mohon kerjasama jabatan agama negeri-negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang aktiviti berkaitan ajaran sesat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pada masa sama, pihaknya juga melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya terdapat penyebaran ajaran sesat melalui media sosial.
“Kalau perkara itu berlaku di negeri-negeri, pihak Jakim akan menghubungi negeri-negeri tersebut untuk mengambil tindakan. Contohnya sewaktu kes Perjalanan Mimpi Yang Terakhir berlaku dan minta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertindak.
“Selain itu kes bomoh di Perak di mana pihak berkuasa agama negeri memang memberi kerjasama baik dengan Jakim. Kalau di media sosial, ada laporan, kita akan maklumkan kepada MCMC,” katanya kepada pemberita pada Pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Jais Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya akan bertindak tegas terhadap umat Islam di negeri ini yang terlibat dengan ajaran ‘mimpi’ seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Qasim Abdul Karim. – K! ONLINE.