KUALA LUMPUR – Kedah Eagles bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 19-21, 21-18, 21-11 ke atas Perlis Vipers pada aksi ketiga Kumpulan B saingan Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) sebentar tadi.
Kemenangan dalam aksi ‘Derbi Utara’ di Stadium Titiwangsa itu menyaksikan Kedah Eagles melonjak ke tangga kedua Kumpulan B sekali gus kembali mencerahkan peluang mereka ke peringkat separuh akhir selepas ini.
Bagaimanapun, feeder yang juga kapten Kedah Eagles, Danial Asyraf mengakui, dia masih belum berpuas hati dengan keseluruhan prestasi mereka meskipun memenangi perlawanan tersebut.
“Belum gembira kerana set pertama kami sedikit perlahan. Pertahanan kami kurang baik, servis-servis juga tak lepas dan gagal mendapatkan mata untuk pasukan.
“Kemudian kami perlahan-lahan dapat semula rentak permainan dan kembali bersaing dalam perlawanan ini.
“Kami akan cuba sehabis baik dan bermain mati-matian untuk aksi seterusnya menentang Pahang esok,” katanya selepas tamat perlawanan sebentar tadi.
Ini juga adalah kemenangan kedua berturut-turut Kedah Eagles selepas berjaya menewaskan Labuan Drillers 23-21, 21-9 semalam. – K! ONLINE