PETALING JAYA – Pelakon popular Raysha Rizrose mengaku rimas dan tidak selesa apabila kerap diajukan pertanyaan mengenai perkahwinan.
Namun begitu, pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd. Fariz, 26, yang telah menjalin hubungan cinta selama 10 tahun dengan pelumba kereta Formula 3, Nabil Jeffri, mengambil sikap terbuka berkenaan pertanyaan mengenai hari bahagianya.
“Secara jujurnya, saya memang berasa rimas bukan sahaja dengan orang di sekeliling, tetapi juga keluarga kerana sering mengajukan soalan bila mahu berkahwin?
“Saya anggap pertanyaan (mengenai kahwin) sebagai satu doa dan tidak mahu tertekan. Saya percaya tidak perlu tergesa-gesa untuk mendirikan rumah tangga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Ex Aku Pontianak baru-baru ini.
Meskipun tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menamatkan zaman bujang, pelakon drama Ex Aku Pontianak itu tetap mempunyai impian untuk mendirikan rumah tangga.
“Apabila saya bersedia, bulan depan pun boleh jadi (berkahwin). Contohnya, jika merancang setiap tahun, kalau belum jodoh memang tidak akan berlaku juga,” tuturnya.
Sungguhpun rimas dengan pertanyaan tentang perkahwinan, keinginan untuk mendirikan rumah tangga mula timbul selepas melihat kakaknya yang juga pelakon Uqasha Senrose dan sepupunya, Oktovia Manrose bertemu jodoh masing-masing baru-baru ini.
“Itu yang peliknya, saya berasa rimas kalau ditanya bila hendak berkahwin? Namun, bila lihat kakak dan sepupu bertemu jodoh, saya pun terasa ingin berkahwin.
“Tipulah sepanjang dalam hubungan tidak pernah berbincang soal kahwin, tetapi setakat berbincang sahaja. Insya-Allah kalau ada jodoh, saya akan berkahwin.
“Cuma sekarang fokus adalah karier. Banyak lagi perkara yang ingin dicapai dalam karier sebelum saya menamatkan zaman bujang,” katanya.-K! ONLINE