OLEMBE – Kapten Mesir, Mohamed Salah memberi amaran kepada rakan sepasukan supaya tidak terlalu memikirkan gelaran kelapan menjelang separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menentang Cameroon di Stadium Paul Biya awal pagi esok.
Bintang Liverpool itu berharap barisan pemain Mesir memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan tersebut sekiranya tidak mahu pulang hampa memandangkan Cameroon masih belum tewas pada kempen kali ini.
Ujar Salah, mereka tidak boleh berfikir terlalu jauh ketika ini kerana ia mampu mengganggu fokus para pemain memandangkan mereka hanya selangkah lagi untuk beraksi di perlawanan akhir.
“Kami tidak boleh terlalu teruja kerana masih ada satu halangan yang perlu dihadapi sebelum ke perlawanan akhir. Kami perlu bersiap sedia untuk berdepan pasukan tuan rumah.
“Sudah tentu ia akan jadi tekanan buat pemain jika sudah fikirkan aksi final sedangkan kami masih belum melepasi separuh akhir, jadi saya mahu rakan sepasukan berikan fokus 100 peratus,” ujarnya.
Pada masa sama, dia juga berharap Mesir mampu menampilkan aksi sama seperti ketika mereka menyingkirkan Maghribi di peringkat suku akhir menerusi gol kemenangan pada penghujung permainan.
“Saya fikir kami bermain sangat baik ketika bertemu Maghribi yang merupakan antara pasukan terbaik. Sangat penting untuk semua pemain berikan segala-galanya dalam setiap perlawanan,” kata Salah. – AGENSI