JOHOR BAHRU – PKR hanya akan memuktamad dan mengumumkan senarai nama calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting berhubung PRN Johor.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, Cabang dan sayap PKR iaitu Wanita serta AMK sudah menyerahkan senarai calon kepada kepimpinan pusat.
Jelasnya, jadi ketika ini semua pihak sedang menunggu senarai calon akhir dimuktamadkan kepimpinan tertinggi pusat.
“Ketika ini kita masih lagi tunggu keputusan dibuat SPR kerana banyak khabar angin ada negeri lain turut goyang (situasi politik tidak stabil).
“Jadi bagi saya kita tunggu dahulu SPR tetapkan tarikh penamaan calon dan PRN Johor kemudian baharu kita muktamad bila nak umum calon-calon PKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Ayam Segar di Taman Suria, di sini semalam.-K! ONLINE