PETALING JAYA – Nasib golongan bapa tunggal yang tersisih daripada mendapatkan hak penjagaan anak kini mula mendapat perhatian dengan penubuhan Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM) sejak Mei tahun lalu.
Pengasas Bersama yang juga Setiausaha FRAM, Sheikh Faleigh Sheikh Mansor berkata, sehingga kini ahlinya telah mencecah lebih daripada 100 orang.
Katanya, antara perkara yang sering dibangkitkan oleh golongan tersebut adalah berkenaan hak penjagaan anak-anak selain pemberian nafkah kepada bekas isteri.
“Golongan ini sangat tersepit kerana mereka perlu terus menunaikan tanggungjawab ke atas anak dan bekas isteri. Bagaimanapun, dalam masa yang sama, mereka hanya diberi masa yang terhad untuk bertemu dengan anak berdasarkan perintah mahkamah.
“Adalah wajar jika keputusan dapat diubah berpandukan keadaan dan situasi terkini bapa itu sendiri,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sheikh Faleigh mencadangkan agar kajian mengenai pindaan akta dan undang-undang berkaitan perkara berkenaan dapat dibuat untuk memberi keadilan sama rata kepada kedua-dua pihak.
“Ini termasuklah hak penjagaan terus anak kepada ibu sekiranya anak-anak masih di bawah umur tujuh tahun,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, mana-mana akta perundangan boleh diubah atau dipinda mengikut kesesuaian dan situasi semasa yang berlaku.
“Mana-mana bapa yang merasakan hak mereka diabaikan atau seperti berat sebelah, boleh memohon perintah di pihak mahkamah bagi memohon peruntukan masa yang lebih lama dan kerap.
“Perintah hak jagaan anak dan hak akses boleh diubah mengikut kesesuaian semasa, usia anak-anak, keadaan serta faktor-faktor lain.
“Bapa juga perlu mengemukakan alasan yang kukuh kenapa ia perlu diubah sebelum melantik peguam Syarie untuk kemukakan tuntutannya,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, adalah lebih baik jika pihak bapa dan ibu kepada anak itu berdamai dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi masa hadapan anak-anak itu.
“Buang yang keruh ambil yang jernih, ambil jalan penyelesaian terbaik dalam hak penjagaan anak, kerana akhirnya yang menjadi mangsa itu sendiri adalah anak yang tersepit,” ujarnya.-K! ONLINE