MERSING – Seorang penganggur maut dalam perbalahan dipercayai melibatkan kes dadah di Jalan Datuk Onn, Mersing Kanan di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun itu ditemui terbaring di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.
Menurutnya, menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan keterangan dua saksi, mangsa dipercayai diserang tiga lelaki yang menaiki Proton Iswara.
Katanya, terdapat seorang lagi suspek berperanan sebagai pemandu dan dipercayai kesemua adalah lelaki Melayu.
“Motif pergaduhan dipercayai akibat perbalahan berkaitan dadah. Punca kematian dipercayai akibat kecederaan parah di tengkuk dan pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui senjata yang digunakan,”katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, mayat lelaki berkenaan akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) esok bagi proses bedah siasat.
Katanya, susulan itu dua suspek berumur 31 dan 32 tahun juga telah berjaya diberkas di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi kira-kira pukul 3.15 petang tadi.
“Mereka yang bekerja sebagai buruh kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing bagi membantu siasatan. Polis giat mengesan dua lagi suspek yang terlibat,”katanya lagi.-K! ONLINE