BAGAN DATUK – Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ketika memasang jaring ikan di hadapan kunci air lorong 1, Bagan Sungai Tiang di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, mangsa berusia 36 tahun dijumpai di pesisir pantai Bagan Sungai Tiang, tidak jauh dari lokasi dia memasang jaring pada pukul 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki yang sedang mencari siput sedut berhampiran dengan kunci air lorong 1.
Katanya, lelaki terbabit melihat mangsa terkapai-kapai menjerit meminta tolong namun belum sempat saksi berbuat apa-apa, mangsa telah tenggelam dan tidak timbul lagi.
“Ketika kejadian mangsa sedang memasang jaring ikan belanak di pesisir laut Sungai Tiang dan semasa kejadian, air dalam keadaan surut di mana lokasi kejadian menghala ke laut.
“Usaha mencari dan menyelamat awal telah dijalankan oleh penduduk dan nelayan setempat namun tidak menjumpai mangsa,” katanya di sini hari ini. -K! ONLINE