PETALING JAYA – Bakal jemaah umrah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 8 Februari ini berdepan dengan kenaikan kos sehingga RM300 sekiranya kerajaan mewajibkan pengambilan insurans perlindungan kesihatan.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Razali Mohd. Sham berkata, perkara tersebut diutarakan Menteri Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.
Menurut beliau, cadangan insurans perlindungan kesihatan itu harus disambut baik oleh semua demi kesejahteraan dan keselamatan bakal jemaah sebelum bertolak dan semasa berada Tanah Suci.
“Memang akan ada kenaikan kos anggaran RM200 hingga 300 untuk setiap jemaah sekiranya insurans perlindungan kesihatan diwajibkan.
“Sejujurnya, saya menyokong tindakan ini memandangkan situasi semasa kes jangkita Covid-19 dan ancaman varian Omicron demi untuk kebaikan para bakal jemaah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Razali memberitahu, setiap pengembara yang pergi ke luar negara perlu mengambil insurans perlindungan kesihatan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992, namun ia tidak dikuatkuasakan.
“Di Malaysia, tiada penguatkuasaan dijalankan. Misalnya sekiranya jemaah umrah dijangkiti Covid-19 di lapangan terbang (di Malaysia) maka tiada perlindungan insurans.
“Jadi, ini antara faktor Menteri MOTAC membawa cadangan untuk mengwajibkan jemaah umrah supaya mengambil perlindungan insurans kesihatan sebagai SOP baharu untuk menunaikan ibadah tersebut,” katanya.
Razali menambah, sekiranya tiada insurans perlindungan kesihatan, bakal jemaah berdepan dengan kos lebih tinggi sekiranya dijangkiti virus Covid-19 termasuklah pembatalan tiket penerbangan.
Sebelum ini, MOTAC menggariskan tiga prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi perjalanan ibadah umrah selepas dibenarkan semula bermula 8 Februari ini.
Antara SOP tersebut termasuklah memastikan bakal jemaah lengkap vaksinasi dan wajib mengambil dos penggalak demi keselamatan dan kesejahteraan jemaah.-K! ONLINE