PERSEORANGAN wanita negara, S. Kisona percaya dengan kemampuan diri menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bermula 15 hingga 20 Februari ini.
Kisona berdepan kritikan hebat selepas menampilkan aksi kurang memuaskan ketika menggalas misi negara pada saingan Piala Sudirman di Vantaa, Finland September tahun lalu.
Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu menegaskan, dia sudah bekerja keras bagi memperbaiki kelemahan bagi memastikan aksi lebih baik pada BATC selain melayakkan diri ke saingan Piala Uber 2022.
“Mengenai persiapan ke BATC, saya akui sudah tunjukkan banyak peningkatan dan saya sendiri sudah nampak menerusi latihan. Saya mahu teruskan aksi seperti ini hingga ke BATC.
“Kami perlu ada keyakinan dahulu mengenai peluang kita pada kejohanan itu. Tidak kisah apa yang akan berlaku pada kejohanan itu nanti, namun saya perlu ada keyakinan pada diri dan pasukan,” kata pemain kelahiran Seremban itu.
Sebagai rekod, skuad badminton wanita negara melayakkan diri secara ke merit ke saingan Piala Uber 2020 selepas mara ke separuh akhir BATC sebelum tewas 0-3 kepada Jepun dua tahun lalu.
Pada masa sama, Kisona juga tidak mahu terlalu memberikan fokus terhadap pasukan mana yang akan bertanding ataupun tidak selepas pasukan No.1 dunia, China tidak menghantar wakil pada edisi kali ini.
“Buat masa ini, saya tidak mahu fikir mengenai siapa yang akan bertanding ataupun tidak kerana mahu beri tumpuan pada persiapan pasukan sendiri terlebih dahulu.
“Saya tidak pasti sama ada pasukan kali ini lebih baik ataupun tidak berbanding skuad dua tahun lalu. Bagaimanapun, kami perlu ambil semangat itu untuk hadapi kejohanan ini,” ujarnya.