KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hampir menyelesaikan kertas siasatan terhadap pendakwah bebas, Ebit Lew, 37, berkaitan kes gangguan seksual.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, kertas siasatan terhadap pendakwah terkenal tersebut berhubung kes gangguan seksual kini di peringkat akhir.
“Kita menerima semula kertas siasatan itu kerana ada beberapa maklumat tambahan yang perlu diselesaikan.
“Kita akan segera menyelesaikan kertas siasatan terbabit untuk diserahkan semula kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Pada 13 Januari lalu, akhbar melaporkan kertas siasatan terhadap pendakwah itu sudah dilengkapkan dan sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Pejabat Peguam Negara.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan terhadap Ebit Lew susulan menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.
Susulan itu, polis bertindak membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – K! ONLINE