SETIAP lawatan ke Muar, Johor, pastinya tidak lengkap andai tidak merasai keenakan sajian
ditawarkan di daerah tersebut.
Muar yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani cukup popular dengan hidangan tradisi seperti mi
bandung, mi rebus, sate dan asam pedas.
Bagaimanapun, ramai tidak sedar bahawa Muar juga memiliki sebuah restoran yang menawarkan pelbagai jenis sup dengan keunikan rasa tersendiri.
Restoran dikenali sebagai Muar Soup House (MSH) itu sudah bertapak di bandar Muar sejak tahun 1958 dan masih kekal beroperasi sehingga hari ini.
Pemilik MSH, Amiruddin Shaik Alaudin, 40, memaklumkan, perniagaan tersebut dimulakan oleh bapanya, Shaik Alaudin Gulam Kadar yang berasal dari India.
Katanya, dia mengambil alih perniagaan berkenaan pada tahun 1996 selepas kematian bapa dengan
membuat beberapa perubahan seiring peredaran zaman.
“Perniagaan ini dimulakan oleh bapa dengan berniaga sup dan rojak menggunakan pedati di kaki lima sekitar bandar Muar. Masa itu, dia berniaga dua jam sahaja dari pukul 8 hingga 10 malam.
“Selepas kematian bapa, saya ambil alih perniagaan ini dengan melakukan beberapa perubahan termasuk membuka restoran ini pada tahun 2000.
“Kini, sudah ramai orang luar dari sini seperti dari Melaka, Kuala Lumpur dan Singapura yang mengenali Muar disebabkan keenakan rasa sup di sini,” katanya ketika ditemu bual K2 barubaru ini.
Menurut Amiruddin, MSH menawarkan 15 jenis sup yang boleh dinikmati bersama hidangan sampingan
seperti nasi lemak bungkus, roti potong atau nasi putih dengan telur dadar.
Dia menambah, setiap jenis sup yang ditawarkan di situ dimasak dalam kawah berasingan bagi mengekalkan keaslian rasa serta memastikan daging betul-betul empuk.
“Di sini, kami ada sup kambing, sup daging lembu, sup ayam, sup ekor, sup urat, sup lidah, sup perut, sup gearbox, sup tulang dan sup campur.
“Sup berkenaan dihasilkan menggunakan resipi asli sejak turun-temurun daripada bapa yang
menggunakan banyak rempah ratus selain tekstur lebih likat. Jadi, pelanggan akan hirup tanpa henti sebab sedap.
“Kami juga masak setiap sup secara berasingan disebabkan waktu daging empuk tidak sama. Misalnya, daging lembu perlu dua jam, manakala urat pula boleh sampai lapan jam,” terangnya.
Amiruddin menegaskan, sup gearbox kambing merupakan sajian paling laris di restorannya disebabkan ia sukar diperoleh selain persembahannya yang menyelerakan.
Di samping itu, MSH turut menawarkan hidangan lain yang tidak kurang enaknya seperti pasembur serta
rojak petis
“Kalau lepas hirup sup, pelanggan boleh cuba pasembur dan rojak petis kami. Rojak petis kami berbeza dengan tempat lain kerana kuahnya dibuat sendiri dan rasanya lebih asli,” ujarnya.
MSH mampu memuatkan seramai lebih 400 orang pada satu-satu masa serta dilengkapi dengan ruang
berpendingin hawa untuk keselesaan pelanggan.
Mengulas mengenai fungsi sebuah pedati yang diletakkan di depan restoran, Amiruddin memberitahu, ia lebih kepada simbol atau trademark kepada MSH.
Jelasnya, apabila ada pedati tersebut di depan kedai, maka pelangganpelanggan sudah tahu bahawa sup
sudah siap dimasak dan sedia dijamah oleh mereka.
“Sebenarnya, pedati ini digunakanoleh ibu saya ketika berniaga sejak 40 tahun lalu. Sebelum itu, arwah bapa juga berniaga guna pedati tetapi sudah rosak.
“Dengan ada pedati ini, ia sedikit sebanyak mengingatkan saya di mana kami bermula. Jadi, saya ambil pedati ini sebagai simbol dan lambang kepada restoran MSH,” ulasnya lagi.