KUALA SELANGOR – Tindakan pantas penduduk kampung berjaya menyelamatkan dua beranak yang terhumban ke parit selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kampung Bukit Kuching Tengah di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu melibatkan seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu kereta Proton Bezza bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun.
Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta dinaiki dua beranak itu berlanggar sebuah Perodua Axia di Jalan Parit Haji Omar tersebut.
“Perlanggaran itu mengakibatkan kereta Bezza itu terhumban ke parit setinggi kira-kira lima meter.
“Beberapa penduduk kampung yang terkejut kemudian segera menyelamatkan dua beranak itu yang mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, dua beradik wanita berusia 37 dan 51 tahun yang menaiki Axia turut terselamat dan hanya cedera ringan.-K!ONLINE