fbpx

Disangka jatuh, Fayyadh rupa-rupanya kena patuk ular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Yusof dan isterinya, Syazwani Abdul Aziz menunjukkan gambar Fayyadh yang maut dipatuk ular ketika ditemui di Kampung Sireh, Kuala Nerang semalam.

KUALA NERANG – Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang maut dipatuk ular tedung selar semasa bercuti di rumah nenek­nya di Kampung Sireh di sini pada Ahad lalu pada mulanya disangka mengalami kecederaan akibat terjatuh.

Bapa mangsa, Muhammad Yusof Salleh, 34, berkata, semasa kejadian, arwah Afeef Fayyadh yang merupakan anak ketiga da­ripada empat beradik mena­ngis sambil menggosok kedua-dua belah kakinya.

“Saya nampak ada satu lubang pada kaki kanan Fayyadh yang berdarah lalu membawanya ma­suk ke dalam rumah dan membasuh luka tersebut.

“Kami sekluarga tidak tahu sebab apa (berdarah), ingatkan dia terjatuh tetapi tiada kesan calar jadi saya membawa Fayyadh ke Hospital Kuala Nerang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut lelaki itu, sebelum kejadian, ramai saudara-mara berkumpul di luar rumah sebelum mereka masuk ke dalam untuk menunaikan solat Asar.

“Isteri saya kemudian me­mang­gil Fayyadh masuk ke da­lam sambil menidurkan anak bongsu kami sebelum terdengar arwah menangis dan menjerit kesakitan,” ujarnya.

Berita berkaitan: Kanak-kanak dua tahun meninggal dunia dipatuk ular

Cerita Muhammad Yusof, dua kakaknya yang berada di luar rumah kemudian memeriksa kea­daan Fayyadh yang ketika itu dilihat menggosok kedua-dua belah kakinya.

Katanya, kaki arwah anaknya mula membengkak dan kelihatan dua lubang gigitan yang mana pada ketika itu keadaan Fayyadh sudah mulai lemah dan tidak lagi memberikan respon.

Fayyadh kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dekat sini untuk tindakan lanjut berikutan keadaan kanak-kanak itu yang semakin kritikal.

“Pada pukul 12 tengah malam (Isnin), doktor memaklumkan anak saya mungkin sudah tiada harapan dan kami juga sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku,” katanya. Mangsa meninggal dunia pada pukul 8.10 pagi, Isnin lalu.

Dalam pada itu, Muhammad Yusof berkata, dia tidak menyangka perubahan tingkah laku anaknya yang tidak mahu menjamah nasi sehari sebelum kejadian menjadi petanda kanak-kanak itu akan pergi buat selama-lamanya.

Keluarga mangsa tinggal di Pulau Pinang dan pulang ke daerah ini pada Sabtu lalu. Jenazah mang­sa dikebumikan pada pukul 10 malam, Isnin lalu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI