LONDON – Bekas penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang mengakui bahawa sangat kecewa dan sedih meninggalkan pasukan tersebut dengan cara sedemikian.
Dalam satu ucapan perpisahannya kepada penyokong The Gunners di laman sosial, Aubameyang mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menerima kehadirannya selepas empat musim berada di London.
Penyerang tersebut ‘dibekukan’ oleh pengurus pasukan itu, Mikel Arteta kerana masalah disiplin menyebabkan Aubameyang meninggalkan pasukan selepas peluangnya untuk beraksi hampir tertutup.
Aubameyang mengambil keputusan untuk mengadakan rundingan bersama Barcelona dan sudah mencapai kata putus untuk beraksi bersama pasukan tersebut dengan gaji yang lebih rendah selepas menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dengan Arsenal.
“Kepada peminat Arsenal, terima kasih kerana menjadikan London seperti rumah saya sendiri dan menerima keluarga saya sejak empat tahun lalu.
“Kita melalui tempoh turun naik bersama dan sokongan anda sangat bermakna. Berpeluang meraih gelaran dan diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan adalah penghormatan besar yang akan saya kenang.
“Saya sedih kerana tidak diberikan peluang membantu rakan sepasukan lain dalam tempoh beberapa minggu lalu tetapi saya menghormati keputusan yang dibuat itu,” jelasnya. – AGENSI