MELAKA – Pemilik kafe Tipsier Bridge Cafe Waronk yang terletak di kawasan tumpuan pelancong di negeri ini didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menggunakan perkataan halal tanpa perakuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Hakim, Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Joanne To Mei Ting, 30, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati sebagai pemilik tunggal Tipsier Bridge Cafe Waronk memperakui bahawa makanan di kafe itu adalah halal dengan ungkapan perkataan tersebut pada lapan buku menu tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang di premis perniagaan Tipsier Bridge Cafe Waronk di Kampung Pantai di sini, 5 Mac tahun lalu.
Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut perintah 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan kini menanggung anak dan ibu yang sakit.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM10,000.-K! ONLINE