LANGKAWI – Kira-kira 400 penumpang didakwa terkandas selama lapan jam selepas feri yang sepatutnya dinaiki tidak dapat beroperasi kerana alur perlayaran cetek serta dipenuhi selut, semalam.
Satu video tular di Facebook menunjukkan ratusan penumpang yang beratur kecewa apabila mendengar pengumuman feri tidak dapat berlayar kerana fenomena air surut di Kuala Perlis, Perlis.
Selain itu, terdapat juga beberapa video dikongsi oleh pemilik akaun Facebook, Shuhaimi Zulkefli menunjukkan sekumpulan penumpang menjerit meluahkan rasa tidak puas hati ke arah petugas feri sebaik pengangkutan itu tiba di Terminal Feri Penumpang Kuah di sini malam semalam.
Difahamkan penumpang yang terlibat dijadualkan menaiki feri pada pukul 2.30 petang semalam, namun hanya dapat menaiki feri pada pukul 10.30 malam.
“Penumpang ini terkandas di jeti Kuah sejak pukul 2.30 petang tadi hingga 10.30 malam.
“Belum pasti apa nasib mereka yang membawa anak kecil serta warga emas yang terkandas di Jeti Kuah, ramai yang tidur di kaki lima hingga subuh pagi ini,” kata pemilik akaun Facebook Shuhaimi Zulkefli dalam hantarannya.
Jelasnya, fenomena air laut surut dan selut yang terlalu tebal di muara Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis menyebabkan perjalanan feri dari Langkawi ke Kuala Perlis ditunda setelah penumpang sudah diarahkan beratur untuk menaiki feri.
Dia menyatakan kerja-kerja mendalamkan dasar laut dan membuang lumpur di laluan feri sepatutnya dikawal selia oleh kerajaan.
Setakat pagi ini, hantaran tersebut telah menerima 265 komen dan dikongsi seramai 536 orang pengguna Facebook. – K! ONLINE