fbpx

Rumah lokasi ribut diawasi elak pencuri besi buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara rumah yang rosak dalam kejadian ribut baru-baru ini.

IPOH – Polis mengawasi keselamatan di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai yang terjejas akibat ribut bagi mengelak kejadian curi melibatkan besi, kabel dan zink.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, rondaan dijalankan sejak Ahad lalu melibatkan kereta peronda, unit rondaan bermotosikal (URB) dan kehadiran anggota dari balai berhampiran.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak untuk berlaku kegiatan curi memandangkan masih terdapat barang seperti besi dan zink berselerak di kawasan tersebut.

“Setakat ini kita belum terima sebarang aduan berkaitan kecurian, begitu pun kawalan dan rondaan tetap dipertingkatkan.

“Besi dan zink-zink itupun boleh dikira berharga, jadi kita percaya ia mungkin akan dijadikan sasaran oleh-oleh pihak-pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan,” katanya.

Yahaya turut menasihati mangsa-mangsa ribut di dua lokasi terlibat agar memberi perhatian pada aset-aset rumah sepanjang meninggalkan kawasan kediaman masing-masing.

Sementara itu kata Yahaya, sebanyak 305 laporan kerosakan rumah akibat kejadian ribut diterima dan polis menjangka angka itu akan bertambah memandangkan masih ada laporan baru diterima.

“Kita minta mana-mana mangsa yang terkesan dalam kejadian ribut segera buat laporan. Ini bagi memudahkan urusan terutama yang melibatkan tuntutan bantuan daripada kerajaan,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI