KOTA BHARU – Kesemua 180 penumpang Ekspres Rakyat Timuran No. 27 yang terkandas selepas bahagian enjin kereta api terbakar di Kilometer 490.50 – 491 antara Pasir Mas dan Tanah Merah kembali meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing pagi tadi.
Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Zain Mat Taha berkata, kesemua penumpang tren itu kembali meneruskan perjalanan pada pukul 2.46 pagi.
“Lokomotif yang membawa seramai 180 penumpang itu dalam perjalanan dari Stesen Tumpat ke Kempas Baru, Johor Bahru.
“Kebakaran itu hanya membabitkan bahagian enjin lokomotif dan tidak merebak ke gerabak penumpang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Zain memberitahu, kesemua penumpang berjaya dikeluarkan ke tempat selamat hasil bantuan kakitangan dan anggota Polis Bantuan KTMB.
Katanya, kebakaran enjin itu dapat dipadamkan pukul 12.20 tengah malam hasil tindakan pantas pasukan bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah sejurus menerima laporan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan. – K! ONLINE