KAJANG – Polis berjaya melumpuhkan sekumpulan individu dipercayai aktif melakukan aktiviti curi kenderaan dan pecah premis perniagaan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, empat individu tersebut ditahan menerusi tangkapan berasingan di Taman Kasturi Cheras dan Persiaran Tasik Kesuma Beranang.
“Empat suspek terlibat termasuk dua lelaki serta dua wanita berusia lingkungan 30-an.
“Hasil siasatan lanjut polis menemui sebuah van jenis Toyota Vanette serta dua motosikal jenis Honda EX5 yang mana kesemua kenderaan dilaporkan hilang di Kajang dan Batu 14 di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, polis turut menemui barang-barang peralatan dapur di dalam van terbabit hasil kegiatan jenayah pecah premis perniagaan yang dipercayai berlaku di sekitar Kajang.
“Kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.
“Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah atau kemalangan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang atau balai polis berhampiran,” ujarnya. – K! ONLINE.