UMPAMA si kembang teratai yang selama bertenang di sebalik dedaunan rimbun, dia Suki Low ibarat permata yang tersembunyi.
Bertahun-tahun menyepi, entah ke mana, kemunculan semula wanita genit itu ternyata besar impaknya.
Selama 10 minggu berentap bagi merebut gelaran sang juara bagi rancangan realiti popular, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), akhirnya ‘kesengsaraan dalam kebahagiaan’ tersebut terlerai.
Tidak dijulang sebagai juara mahupun naib juara, Suki terbuka hati dengan ketentuan selepas dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga, sekali gus berjaya menjinakkan tiga lagi finalis di bawahnya.
Biarpun sedikit menghampakan sesetengah pihak dan peminat yang mengharapkan namanya di takhta juara, namun persembahan akhir penentu segala.
Kalah menang adat pertandingan dan bagi peminat setia, tiada istilah kalah buat idola mereka kerana semua yang berjaya memboloskan diri ke pentas akhir, itulah juara sebenar.
Berpeluang bertentang mata dalam satu sesi penggambaran bagi edisi khas Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Suki yang hadir bersama suami, Jeremy Chong tetap dengan senyuman yang tidak pernah lekang terukir pada bibirnya.
Penat lelah diketepikan seketika demi sebuah perkongsian sempena hari penuh bahagia tahun ini.
“Kalau ditanya bab penat, memang penat dan memang belum hilang pun rasa itu. Tapi perjalanan kehidupan masih panjang.
“Habis saja GV8 baru-baru ini, tidak tunggu lama, saya terus ‘berperang’ di dapur seperti biasa demi memenuhi tempahan daripada pelanggan.
“Dua bulan saya ‘cuci tangan’ daripada membakar kek dan buat gubahan bunga kerana fokus yang perlu diberikan terhadap GV8. Sekarang semuanya kembali seperti biasa,” lenturnya membuka cerita.
Tahun Harimau
Sempen sambutan Tahun Baru Cina bermula hari ini, Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee sudah mula bercuti dan pulang ke kampungny di Seremban, Negeri Sembilan sejak untuk beraya bersama keluarga.
Tahun Baharu Cina 2022 ini lebih istimewa buat Suki berbanding dua tahun lalu kerana dapat bersua muka dan bertemu keluarga serta sahabat handai.
“Memang beza sangat, tahun ini saya dan keluarga dapat pulang dan berkumpul bersama keluarga.
“Saya bercuti dan berehat selama satu minggu. Jika tiada aral melintang, tiga hari kami akan berada di Negeri Sembilan dan terus bergerak ke Pulau Pinang untuk beberapa hari di kampung suami,” katanya.
Tambah pelantun lagu hit Berdiri itu lagi, kedatangan Tahun Baharu Cina inilah masa terbaik untuk berehat seketika daripada kerja-kerja seni dan perniagaan yang diusahakan.
“Jujur sejak sertai GV8 bermula pertengahan November lalu, inilah masa yang betul-betul saya dapat berehat seketika daripada kerja-kerja hakiki.
“Nanti lepas raya, dah mula sibuk semula dengan karier nyanyian dan perniagaan selain tugas hakiki sebagai seorang ibu dan isteri,” katanya.
Terus berkarya, tak ghaib
Seiring tuah Tahun Harimau, Suki yang kembali mekar setelah sekian lama menyepi dalam dunianya sendiri memberitahu, dia tidak akan sesekali berhenti daripada bidang seni yang dicintainya.
Alang-alang ngaumannya sepanjang GV8 sudah didengari ramai, Suki berjanji untuk tetap terus berada dalam dunia hiburan selagi mana bakat seninya ditagih dan diperlukan.
“Kalau sebelum ini saya akui memang lama menghilang seketika dan menjadi persoalan dalam kalangan peminat yang tertanya-tanya kemana perginya saya.
“Saya cuma memilih untuk fokus terhadap keluarga.
“Tetapi selepas tamatnya GV8, saya sudah berjanji kepada peminat dan diri sendiri untuk terus kekal berada dalam gelanggang seni selagi mana yang boleh.
“Selepas ini, akan ada lagu baharu yang saya hadiahkan untuk anda semua.
“Perniagaan kek dan gubahan bunga yang diusahakan bersama rakan kongsi juga akan diteruskan seperti biasa,” ujarnya.
Beroleh banyak keyakinan daripada penerimaan semua, terutama peminat lama dan baru mengenali dirinya, Suki berjanji tidak akan menghilang daripada industri muzik.
Dia enggan lagi ‘ghaib’ sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.