IPOH – Ribut kuat dengan tiupan angin kencang berpusar-pusar selama kira-kira 10 minit telah meranapkan lebih 200 rumah di Kampung Tawas, Tasek Damai, Klebang dan Taman Desa Impian di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kebanyakan rumah rosak teruk apabila bumbung diterbangkan angin, manakala siling dan dinding pula runtuh.
Tornado yang membadai itu sekali gus memusnahkan kegembiraan penduduk untuk menyambut Tahun Baharu Cina.
Menceritakan detik cemas itu, Lee Cheang Man, 22, berkata, ketika kejadian, dia sedang berkemas di dalam bilik dan ibunya, Cheah Kim, 55, pula mandi.
Katanya, dia tiba-tiba terdengar bunyi tiupan angin kencang seperti sebuah mesin pembersih vakum sedang menyedut sesuatu.
Ibunya yang cemas kemudian keluar rumah untuk mengetahui apa yang berlaku sebelum dia melihat kepulan debu berpusar-pusar dari arah tepi kanan rumah dan bergerak meranapkan rumah satu demi satu.
Kata Cheang Man, dia terus menarik tangan ibunya supaya masuk semula ke dalam rumah sebelum mereka duduk mencangkung di dalam bilik tidur dalam ketakutan.
“Saya takut kerangka besi aluminium yang menjadi alang rumah terjatuh dan terkena kami.
“Ketika berlindung, beberapa keping siling terjatuh dan saya terpaksa menahannya menggunakan tangan daripada terkena ibu,” katanya semalam.
Cheang Man yang juga pelajar diploma di Universiti Malaysia Perlis berkata, dia kini buntu apabila sebuah komputer riba dan komputer meja yang digunakan untuk mengikuti kelas online rosak akibat kejadian itu.
Dua beranak itu kini tinggal sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Tawas bersama lebih 20 keluarga mangsa bencana.
Jirannya, Poon Kah Kat, 43, pula berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di rumah sebelum mendengar bunyi kuat seperti dentuman gendang sebelum atap dan siling rumahnya diterbangkan angin kencang.
“Saya tak berani keluar rumah selain berdoa agar ribut cepat-cepat berakhir. Walaupun cuma 10 minit, tetapi macam lama apabila gegaran angin seolah-olah membuat rumah bergoncang,” ujarnya.
Selain itu, ribut juga menyebabkan rumah pusaka milik keluarga Tin Tseng, 56, yang berusia 100 tahun rosak dan tidak lagi selamat untuk dihuni.
“Nak sambut Tahun Baharu Cina pun dah tak semangat apabila rumah keluarga rosak teruk, banyak kerja-kerja perlu dilakukan untuk membaiki kerosakan
“Lebih kurang RM20,000 diperlukan untuk membaik pulih rumah dan bumbung yang rosak,” keluhnya.
Katanya, sepanjang hidup, angin seperti puting beliung itu tidak pernah berlaku.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan segera sebanyak RM300 akan diagihkan kepada setiap mangsa melibatkan jumlah keseluruhannya RM65,000.
“Fokus ketika ini adalah untuk membaiki bumbung rumah yang rosak,” katanya ketika melawat kawasan yang dilanda ribut di Klebang semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid.
Mangsa ribut juga akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Secara keseluruhan, sebanyak 219 buah rumah terjejas iaitu 30 rumah di Desa Seri Chepor, Kampung Tawas dan Kampung Tasek Damai (49), Klebang (30) serta Taman Desa Impian (110).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula memaklumkan, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di daerah Kinta, Perak berpunca daripada pembentukan awan ribut petir yang bersaiz sangat kecil, namun berimpak kuat.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, berdasarkan imej radar dan satelit, beberapa tompok awan hujan yang kecil mula terbentuk di sempadan Perak dan Pahang pukul 5.50 petang kemarin.
“Tompokan awan juga tidak berkembang dengan ketara, namun awan hujan bersaiz kecil di daerah Kinta ini telah meningkat ke intensiti kuat dalam tempoh yang sangat singkat sekitar pukul 6.20 hingga 6.40 petang sehingga berlakunya puting beliung,” katanya dalam satu kenyataan. -K! ONLINE