HARRISMITH, Afrika Selatan – Seorang jurugambar hidupan liar berjaya merakam momen menunjukkan seekor singa jantan bangun daripada tidur dengan bulunya dalam keadaan kusut masai, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Simon Needham yang membuat tinjauan di Pusat Pemuliharaan Glenn Gariff berkata dia sangat berpuas hati kerana berjaya merakam foto raja rimba bernama Tonga yang unik itu.
“Kebiasaannya orang melihat singa sebagai binatang ganas dan pemangsa namun menerusi gambar ini, haiwan ini menunjukkan sisinya yang agak kelakar serta comel.
“Saya menunggu dengan sabar sehingga Tonga bangun daripada tidurnya untuk memastikan setiap saat dirakam dengan tepat,” jelasnya.
Tonga merupakan singa paling tua antara 77 ekor singa lain yang turut ditempatkan di pusat pemuliharaan itu.
Ternyata, bukan manusia sahaja yang memiliki hari dengan stail rambut tidak menjadi kerana kadang kala, singa juga mengalami situasi serupa. – Agensi