fbpx

Padang Besar kembali jadi ‘syurga’ beli-belah orang ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG peniaga di Arked Niaga Padang Besar tidak menang tangan melayani pelanggan di gerainya kelmarin.

PADANG BESAR – Arked Niaga Padang Besar yang merupakan syurga membeli-belah barangan Thailand terus menjadi tumpuan orang ramai sempena cuti pe­rayaan Tahun Baharu Cina.

Seorang pengunjung, Zai­nal Abidin Huri, 52, dari Peta­ling Jaya, Selangor berkata, dia mengambil kesempatan untuk membawa keluarga membeli-belah di kawasan pelancongan terkenal di negeri ini buat pertama kali.

“Saya datang ke Perlis untuk menghadiri kenduri dan se­ring mendengar cerita me­ngenai ­pusat niaga di Padang Besar yang menjadi buah mulut lalu mengambil keputusan untuk datang dan melihat sendiri ke­adaannya di sini.

“Suasana di sini menarik ke­rana menawarkan pelbagai barangan dan makanan dari Thailand, selain mempunyai banyak pilihan yang tidak ada di tempat kami. Selain itu, saya dapati ramai juga orang datang membeli-belah di sini,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam.

Tinjauan mendapati ruang letak kereta penuh dan kenderaan diletakkan di sepanjang bahu jalan menuju ke arah Arked Padang Besar dan Padang Besar Waremart.

Orang ramai masih lagi memenuhi kawasan itu pada pukul 7 malam walaupun biasanya kawasan perniagaan di situ ditutup pada pukul 6.30 petang.

Seorang lagi pengunjung, Nur Safina Ahmad Ghani, 38, berkata, sekiranya datang ke Perlis, dia tidak akan melepaskan peluang membeli-belah kerana dapat ­tawar-menawar jika ingin membeli sesuatu barangan itu.

“Keunikan membeli-belah di sini adalah kita akan mendapat potongan harga jika pandai tawar-menawar harga dan ja­ngan percaya bulat-bulat dengan harga yang tertera. Jika pandai, mungkin kita bernasib baik untuk mendapat harga lebih rendah.

“Saya sering ke sini untuk mendapatkan alas tidur (toto), makanan seperti kacang dan pakaian wanita, manakala bagi kaum lelaki mungkin pelbagai pilihan jersi menjadi tarikan bagi mereka,” katanya.

Sementara itu, pembantu jualan gerai pakaian dan makanan, Siti Hajar Jeffary, 18, berkata, lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai sejak Jumaat lalu dan menjangkakan kehadiran pengunjung berterusan sepanjang cuti perayaan ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI