fbpx

‘Magis’ Salah pacu kejayaan Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAH (kiri) meraikan jaringan dengan gaya tersendiri bersama Trezeguet selepas memastikan kemenangan Mesir ke atas Maghribi malam kelmarin. – AFP

YAOUNDE, CAMEROON – Mohamed Salah mengetuai kejayaan Mesir melangkah ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas menumpaskan Maghribi 2-1 di saingan suku akhir malam kelmarin.

Pada aksi di Stadium Ahmadou Ahidjo itu, kedua-dua pe­ngendali iaitu Vahid Halilhodzic (Maghribi) dan Carlos Queiroz (Mesir) melakukan dua perubahan dalam kesebelasan utama berbanding barisan pemain yang diturunkan ketika pusingan 16 terbaik.

Dalam perlawanan itu, Sofiane Boufal terlebih dahulu meletakkan Maghribi di depan, namun Salah bangkit mempamerkan magisnya untuk meledak gol penyamaan sebelum Trezeguet menghadiahkan jaringan kemenangan buat Mesir.

“Kami sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan termasuk pada aksi hari ini. Saya gembira kerana rakan sepasukan tetap bersemangat walaupun terlebih dulu ketinggalan kepada lawan.

“Sekarang adalah masa untuk kami lupakan kemenangan dan memberikan fokus kepada Cameroon untuk aksi separuh akhir. Sudah tentu saya berharap kemenangan ini dapat diteruskan.

“Misi kami dalam kejohanan ini untuk membuatkan rakyat Mesir gembira,” kata Salah yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Juara AFCON tujuh kali itu selepas ini dijadualkan bertemu tuan rumah, Cameroon di Stadium Olembe untuk pertembu­ngan separuh akhir awal pagi Jumaat ini.

Perhitungan itu menjadi satu lagi tugas sukar buat Salah dan rakan sepasukannya untuk menyerap tekanan daripada penyokong Cameroon yang turut mengimpikan kejuaraan keenam di pentas AFCON. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI