KUALA TERENGGANU – Gelagat lima lelaki menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) membawa padah apabila ditahan di Hentian Rehat dan Rawat Bukit Besi, Dungun semalam.
Kesemua mereka yang berusia 17 hingga 23 tahun ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu.
Ketua JSPT Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, sebelum ditahan, kelima-lima lelaki tersebut sedang melakukan menunggang motosikal sambil melakukan aksi meniarapkan kepala dan kedua-dua kaki melunjur ke belakang ala ‘Superman’.
“Cara tunggangan itu amat berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Pemeriksaan juga mendapati empat daripada mereka tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ismail berkata, hasil saringan air kencing pula mendapati kesemua mereka bebas daripada pengaruh dadah.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Selain itu, salah seorang daripada lima lelaki tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 108(3)(e) akta sama kerana mengubah suai nombor pendaftaran,.
“Kesemua motosikal terbabit telah disita di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik (BSPT) Terengganu, Kuala Terengganu,”katanya. – K! ONLINE